Komponen kesedaran peribadi dalam novel remaja terpilih
Wan Norlidza Wan Mohd Zain1, Hashim Ismail2.
Kajian ini dijalankan untuk meneliti pengaruh kecerdasan emosi dalam komponen kesedaran peribadi terhadap pembentukan sahsiah remaja dalam novel-novel remaja terpilih. Novel-novel remaja terpilih yang menjadi skop kajian ialah novel Trilogi Cinta karya Siti Jamina Ibrahim (2002), Impuls/Roh karya Sri Rahayu Mohd Yusop (2010), dan Warisnya Kalbu karya Sri Rahayu Mohd Yusop (2008). Komponen Kesedaran Peribadi dibahagikan kepada tiga ciri iaitu mengenal emosi sendiri, mengurus emosi, dan motivasi kendiri. Kehadiran komponen kesedaran peribadi dapat dikesan melalui peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh watak yang pastinya mempunyai kaitan dengan latar belakang watak dan tahap kecerdasan emosi yang dimiliki oleh remaja tersebut. Remaja yang pandai mengurus emosi sewajarnya memiliki sifat remaja unggul iaitu mempunyai keimanan yang kukuh, akhlak yang mulia dan disanjung oleh semua orang. Kajian ini berlandaskan Teori Kecerdasan Emosi oleh Mayer, Curaso dan Salovey dan Teori Kecerdasan Emosi oleh Daniel Goleman oleh Daniel Goleman. Analisis untuk komponen ini dibuat berdasarkan perlakuan watak-watak remaja apabila menghadapi konflik. Analisis yang dibuat akan memperlihatkan keupayaan seseorang remaja menangani emosi yang dihadapi dan seterusnya pengaruh terhadap hubungan interpersonal remaja dengan rakan sebaya dan orang di sekelilingnya bagi membentuk persekitaran sosial yang sihat. Dapatan kajian ini telah menunjukkan bahawa tahap kecerdasan emosi yang dimiliki oleh watak-watak remaja dalam novel kajian terletak pada skala yang tingggi kerana mempunyai kemahiran untuk menguruskan emosi dan menjalinkan hubungan yang baik dengan pihak lain. Keupayaan remaja melepaskan emosi negatif yang dihadapi dan seterusnya menjadikan sesuatu emosi negatif itu sebagai motivasi untuk memperbaiki diri merupakan kejayaan yang besar dalam diri remaja. Keunggulan sahsiah watak-watak remaja ini terbukti apabila mereka sentiasa disanjung dan diberi kepercayaan oleh orang lain. Dapatan ini dengan jelas membuktikan bahawa komponen kesedaran peribadi dalam teori kecerdasan emosi memainkan peranan penting kepada pembentukan sahsiah remaja unggul seperti yang diaspirasikan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Affiliation:
- Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Malaysia
- University of Malaya, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 146 time(s))